PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengesahkan siasatan dijalankan terhadap seorang pempengaruh media sosial berikutan aduan awam yang diterima.
Menurut kenyataan MCMC, siasatan dilakukan mengikut peruntukan yang terkandung dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
“MCMC telah menjalankan dua sesi rakaman percakapan dan siasatan lanjut pada 25 dan 28 April di Ibu Pejabat MCMC.

“Siasatan awal menunjukkan bahawa pempengaruh tersebut dipercayai terlibat dalam penyebaran maklumat palsu yang mengaitkan Institusi Diraja dengan dakwaan tidak berasas.
“Selain itu, individu berkenaan juga didakwa cuba untuk mendedahkan maklumat peribadi individu lain tanpa kebenaran, dengan niat untuk menyakiti hati, menganiaya, mengugut, atau mengganggu individu tersebut,” menurut suruhanjaya itu pada Isnin.
Jelas MCMC, tindakan seperti ini boleh mencetuskan kegusaran awam, menyemarakkan fitnah serta mengundang ancaman keselamatan terhadap individu terlibat.
Suruhanjaya itu menegaskan, semua aduan akan disiasat secara profesional tanpa mengambil kira status, populariti atau pengaruh individu terlibat.
Baca juga: