Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Tiada satu pun pelajar atau guru yang terlibat dengan kecelakaan insiden kebakaran di sebuah blok asrama pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak pada Isnin, mereka semua berada dalam keadaan yang selamat kata Menteri Pendidikan Malaysia Fadhlina Sidek sambil menzahirkan rasa lega.
Fadhlina Sidek menerusi Facebooknya hari ini berkata, pelajar yang terjejas bakal ditempatkan di bangunan asrama lain yag berdekatan.
“Buku dan kelengkapan sekolah yang musnah akan segera digantikan.
“Saya tekankan, anak-anak ini tidak akan dibiarkan tercicir pembelajaran mereka, guru yang terjejas juga akan diberi bantuan segera untuk meringkan beban mereka,” katanya.
Beliau turut meminta pihak Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) untuk menyelaras setiap keperluan yang diperlukan oleh pelajar serta guru yang terjejas.
“Saya pastikan kesejahteraan dan kebajikan murid dan guru yang terjejas akan sentiasa dipelihara.
“Terima kasih kepada JPWPKL, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kerja Raya dan semua pihak yang telah sama-sama membantu menangani kejadian ini,” ujarnya.
Sebelum ini, Komander Operasi Bomba, TPgB II Japari Tajuddin, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 8.43 malam sebelum mengaktifkan seramai 40 anggota bersama lapan jentera ke lokasi sekolah itu.
“Kebakaran melibatkan tingkat satu blok asrama lelaki sekolah ini dan berjaya dikawal pada jam 9.40 malam.
“Kebakaran menyebabkan kemusnahan kira-kira 80 peratus struktur bangunan terbabit.
“Ketika kejadian, semua pelajar berada di surau sekolah menunggu waktu Isyak dan tiada kecederaan dilaporkan. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM,” katanya dalam satu kenyataan pada lewat Isnin.
Baca juga: