KUALA LUMPUR: Sebuah insiden yang mengejutkan masyarakat, seorang pemuda berusia 19 tahun didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali, Selangor.
Kini, tertuduh akan menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Permohonan untuk penilaian psikiatri tertuduh, Muhamad Adam Haiqal Abdullah, seorang Orang Kurang Upaya (OKU), dikemukakan peguam bela Lingswaran Singh di Mahkamah Sesyen Ampang.
Penilaian itu dilakukan di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah, atas keraguan terhadap kewarasan tertuduh berdasarkan pemerhatian tingkah laku, maklumat daripada ibu tertuduh, dan laporan psikologi terdahulu.
Hakim Norshila Kamarudin membenarkan permohonan tersebut dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 22 Julai untuk mendapatkan laporan pakar psikiatri, laporan perubatan mangsa dari Hospital Selayang, serta rakaman forensik CCTV lokasi kejadian.
“Tertuduh menunjukkan tingkah laku dan kenyataan yang menimbulkan keraguan bahawa beliau mungkin mengalami masalah kewarasan serta tidak berupaya membela diri,” katanya memetik laporan media tempatan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie memaklumkan bahawa pihak pendakwaan masih menunggu laporan penting termasuk rakaman CCTV dan laporan perubatan mangsa.
Tertuduh sebelum ini telah mengaku bersalah di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Namun, pada 27 Mac, beliau menukar pengakuannya kepada tidak bersalah.
Insiden itu berlaku pada 21 Februari lalu sekitar pukul 6.20 pagi.
Rakaman CCTV menunjukkan seorang lelaki memasuki ruang solat wanita, memeluk seorang kanak-kanak perempuan yang sedang sujud ketika jemaah lain menunaikan solat Subuh.
Laporan polis dibuat pada hari kejadian, dan suspek ditahan beberapa jam kemudian.
Peguam bela turut menyatakan bahawa laporan psikiatri akan menjadi faktor kritikal untuk menentukan kemampuan tertuduh menghadapi perbicaraan, dengan kemungkinan pihaknya mengajukan representasi untuk menggugurkan pertuduhan jika dapatan mendapati tertuduh tidak waras.