Tarif AS: Kerajaan perlu pantas dalam Rantaian Tenaga Bersih Global – FMM

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Langkah Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif balas ke atas produk Malaysia berpotensi mengancam peranan negara dalam rantaian bekalan global, termasuk sektor tenaga bersih, menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Walaupun menyambut baik penangguhan tarif selama 90 hari, FMM memberi amaran bahawa ketidakpastian dasar perdagangan AS terus menjejaskan keyakinan industri, terutamanya sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang menjadi tunjang utama dalam pembangunan teknologi bersih dunia seperti solar, kenderaan elektrik (EV) dan grid pintar.

Menurut pengerusi FMM, Tan Sri Soh Thian Lai, pengeluar tempatan menjangkakan kos eksport meningkat antara 10 hingga 30 peratus, selain tekanan daripada pembeli antarabangsa untuk menurunkan harga atau merunding semula kontrak.

“FMM mencadangkan kerajaan mempercepatkan usaha memperkukuh rantaian bekalan domestik dan serantau, memandangkan Malaysia merupakan pembekal penting dalam ekosistem global, termasuk dalam sektor tenaga bersih,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Bangkit pada Selasa.

Tambah beliau, langkah seperti menubuhkan Majlis Rantaian Bekalan Negara dan memanfaatkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 perlu diberi keutamaan bagi memperkukuh daya tahan industri negara menghadapi cabaran ini.

Dalam masa sama, FMM turut mencadangkan kerajaan meningkatkan pengawasan kastam dan bersiap sedia mengaktifkan tindakan remedi perdagangan bagi melindungi pasaran domestik daripada kemasukan produk murah hasil lencongan dagangan.

“Malaysia mesti bertindak pantas menggunakan tempoh 90 hari ini, bukan sahaja untuk menangani ancaman semasa, tetapi juga membina asas ketahanan jangka panjang,” tegasnya lagi.

Malaysia, sebagai antara hab pembuatan komponen tenaga bersih dunia, berisiko kehilangan kedudukan strategik sekiranya ketidaktentuan perdagangan ini berlarutan, sekali gus menjejaskan aspirasi negara dalam agenda peralihan tenaga global.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat