Fokus Sidang Khas 5 Mei Untuk Negara, Ahli Parlimen Dinasihat Jangan Berpolitik

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Ahli-ahli Parlimen diingatkan untuk membincangkan secara serius isu kenaikan tarif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia, pada sidang khas Parlimen 5 Mei ini.

Penganalisis politik dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Ahmad Martadha Mohamed berkata, ahli-ahli Parlimen tidak perlu mencampur aduk isu tarif itu dengan kepentingan politik dalaman.

“Isu ini memberi kesan besar kepada ekonomi negara dan mesti ditangani secara profesional.

“Malaysia perlu tampil dengan cadangan kukuh bagi melindungi kepentingan jangka panjang negara,” katanya kepada Malaysia Bangkit.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sidang khas itu akan menerangkan langkah-langkah yang diambil kerajaan berhubung isu kenaikan tarif.

Anwar berkata, ia juga membolehkan semua ahli Parlimen membincangkan kesan tindakan AS terhadap ekonomi negara dan langkah untuk mengatasinya.

“Inilah masa untuk semua parti dan semua rakyat fokus ke arah pertumbuhan negara.

“Angkat martabat negara ini.

“Malaysia ini negara hebat, mampu jadi negara contoh di antara negara terbaik di Asia dengan syarat kita bersatu dan bekerja kuat dengan mengangkat martabat ekonomi kita,” kata Anwar.

Dalam perkembangan sama, AS bersetuju untuk memulakan rundingan rasmi dengan Malaysia berhubung kadar tarif 24 peratus yang bakal dikenakan ke atas import dari Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata, perbincangan akan tumpu pada tiga bidang khusus iaitu pengurangan tarif, halangan bukan tarif dan ketidakseimbangan perdagangan antara kedua-dua negara.

Timbalan ketua setiausaha kementerian akan dilantik untuk mengetuai rundingan dengan AS, yang turut menamakan penolong Pejabat Wakil Perdagangan AS (USTR) sebagai perunding.

Anda Mungkin Berminat