JOHOR BAHRU: Parti AMANAH Negeri Johor tampil menjelaskan keadaan Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat, yang kini stabil selepas pelbagai spekulasi mengenai tahap kesihatannya mencetuskan kebimbangan dalam masyarakat.
Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya prihatin terhadap penyebaran maklumat yang tidak sahih yang mengundang panik dan salah faham.
Beliau menyeru agar spekulasi ini dihentikan demi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang.
“AMANAH Johor berharap agar segala persepsi ini dapat dihentikan dan kami dari AMANAH Johor akan memaklumkan situasi terkini YB Suhaizan kepada umum.
“AMANAH Johor juga berharap agar tidak ada pihak yang mendahului maklumat dengan menyebarkan kenyataan yang tidak sah serta menambah tegang terhadap situasi serta kesihatan beliau,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Dalam masa yang sama, AMANAH Johor turut berharap rakyat Malaysia mendoakan kesembuhan dan kesihatan Suhaizan supaya beliau dapat pulih sepenuhnya.
Terdahulu, media melaporkan Suhaizan, Naib Pengerusi AMANAH Johor, telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri pada malam Selasa, susulan paras oksigen rendah akibat demam panas.
Beliau dimasukkan ke ICU sekitar pukul 11 malam bagi mendapatkan rawatan rapi.
Suhaizan sebelum ini mencatat kejayaan besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai pada 9 September 2023, apabila beliau memperoleh 48,283 undi untuk menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar serta calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandang sebelumnya, allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.