Kad Pekerja MADANI tawar diskaun hingga 30 peratus

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan Kad Pekerja MADANI yang memberi akses diskaun sehingga 30 peratus di lebih 100 syarikat yang menawarkan barangan keperluan dan perkhidmatan.

Inisiatif itu diberi kepada satu juta ahli kesatuan pekerja dan dirasmikan oleh Anwar ketika beliau menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Pekerja 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil di sini hari ini.

“Kad Pekerja MADANI untuk memberikan ruang kepada ahli kesatuan yang ada kad pekerja ini, diberi diskaun dalam kemudahan itu,” katanya.

Turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Antara syarikat yang terbabit menawarkan akses diskaun itu termasuk AEON, Mydin, Jakel, Marrybrown, Genting, Old Town White Coffee, Zuss Coffee, SOCAR dan Bateriku.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat