PETALING JAYA: Malaysia melonjak 19 anak tangga ke kedudukan ke-88 dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025 yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF).
Laporan itu menunjukkan Malaysia memperoleh 56.09 mata, melonjak daripada kedudukan ke-107 pada tahun 2024 dengan markah 52.07.
Antara faktor penyumbang kepada peningkatan ini ialah inisiatif reformasi media yang diperkenalkan kerajaan, termasuk kelulusan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia yang bertujuan menubuhkan sebuah badan bebas bagi memantau amalan kewartawanan dan etika media di negara ini.
Namun, ranking baharu itu belum dapat menyamai kedudukan Malaysia ke-73 pada 2023.

Meskipun meningkat, RSF kekal mengkategorikan landskap media Malaysia sebagai berada dalam ‘situasi bermasalah’.
Di Asean, Malaysia kekal di belakang Thailand (85), namun mengatasi Brunei (97), Filipina (116), Singapura (123), Indonesia (127), Laos (150), Kemboja (161), Myanmar (169), dan Vietnam (173).
Februari lalu, kerajaan memperkenalkan kod etika kewartawanan untuk menangani cabaran media sosial.
Rang Undang-undang Majlis Media Malaysia diluluskan di Parlimen pada Mac, membuka laluan kepada sebuah badan bebas untuk menyelia media.
Dalam pada itu, RSF dan pemerhati lain masih menggesar Malaysia memansuhkan undang-undang era kolonia seperti Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Indeks Kebebasan Media Dunia mengukur kebebasan kewartawanan di 180 negara berdasarkan pelbagai indikator termasuk perundangan, politik, ekonomi, sosial dan keselamatan.
Baca juga: