PETALING JAYA: Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Sabah masih berada di peringkat awal dan belum mencapai tahap keserasian seperti di peringkat persekutuan, kata penganalisis politik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis.
Menurut beliau, walaupun kedua-dua gabungan itu kini bergandingan di Putrajaya sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, situasi di Sabah agak berbeza apabila hubungan antara BN dan PH masih berbahagi.
“Kerjasama di Sabah mungkin hanya bersifat pakatan pilihan raya semata-mata. Jadi ia biasa kalau timbul masalah kesepakatan dan kepercayaan,” katanya ketika dihubungi Malaysia Bangkit pada Jumaat.
Mujibu turut menekankan bahawa sebagai satu pakatan pilihan raya, matlamat utama kerjasama itu sudah tentu tertumpu kepada memenangi pilihan raya dan memperoleh kuasa politik.

“Jika PH ingin memastikan kelangsungan kuasa, mereka mungkin lebih sesuai bergandingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berbanding BN yang dilihat sukar untuk menjalin kerjasama dengan GRS,” jelas beliau.
Isu agihan kerusi telah disuarakan oleh kedua-dua pihak yang mana Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, BN Sabah mengesahkan akan bertanding di 40 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) tahun ini.
Manakala, baki 33 kerusi diberikan kepada PH.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin menyangkal kenyataan itu dan meminta agar pimpinan UMNO Sabah tidak mengeluarkan kenyataan unilateral, terutama berkaitan kerjasama dalam menghadapi PRN17.
Dalam pada itu, Suhaimi turut mencadangkan agar diwujudkan satu Memorandum Persefahaman (MoU) BN dan PH, termasuk parti politik lain di negeri itu yang berminat untuk bergabung bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Mengulas cadangan itu, Mujibu berpandangan, penyusunan kerjasama politik yang lebih kemas dan teratur perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang konflik atau salah faham, khususnya semasa dan selepas pilihan raya negeri.
Baca juga: