KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyatakan sokongan padu terhadap seruan Kerajaan untuk melaksanakan gaji hidup.
Ini sejajar dengan usaha memperkukuh kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan kemakmuran bersama dan pertumbuhan inklusif.
Sempena sambutan Hari Pekerja, LTAT menegaskan komitmennya terhadap kebajikan dan maruah warga kerjanya.
Bersama-sama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain, LTAT telah melaksanakan dasar gaji hidup kepada semua peringkat pekerja, sebagai satu langkah konkrit memperkasakan tenaga kerja yang menjadi tulang belakang operasi dan perkhidmatan kepada wira negara.
“Menjamin ganjaran yang adil dan bermakna bukan sekadar satu dasar – ia adalah janji kami kepada kakitangan kami. Setiap sumbangan harus dihargai dengan pengiktirafan, maruah, dan jaminan jangka panjang,” kata jurucakap LTAT dalam kenyataan pada Jumaat.
Inisiatif ini mencerminkan iltizam LTAT dalam menjunjung nilai inklusiviti dan keadilan sosial yang menjadi teras kepada Ekonomi MADANI, sejajar dengan matlamat memperkukuh kesejahteraan ekonomi dan sosial rakyat Malaysia.
LTAT akan terus komited dalam memainkan peranannya sebagai pemangkin kemakmuran negara, bukan sahaja kepada pesara tentera dan anggota yang sedang berkhidmat, malah kepada seluruh warga kerjanya yang berdedikasi.
Baca juga: