Pendakwa raya Thailand mohon lanjut tempoh tahanan Eda Ezrin

KOTA BHARU: Pendakwa raya Thailand memfailkan rayuan untuk melanjutkan tempoh tahanan selama sebulan lagi terhadap penyanyi dikir barat Malaysia, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheed Azlin Wan Ismail, bersama suaminya dan empat individu lain.

Permohonan itu difailkan di kaunter Mahkamah Wilayah Narathiwat pada petang Jumaat dan dijangka diputuskan oleh seorang hakim awal minggu hadapan.

Menurut jurucakap mahkamah, jika diluluskan, keenam-enam rakyat Malaysia itu akan terus ditahan di penjara bagi membolehkan penyiasat mengumpul lebih banyak bukti berhubung pemilikan 6,059 pil yaba.

Terdahulu, pada 6 Mac lalu, mereka dibebaskan daripada tuduhan memiliki dadah berkenaan selepas perbicaraan selama 30 minit di hadapan panel dua hakim.

Bagaimanapun, bagi tuduhan mengambil dadah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda 4,000-baht (kira-kira RM526) terhadap mereka.

Hukuman penjara tidak perlu dijalani kerana mereka telah ditahan lebih empat bulan, selain dikecualikan daripada membayar denda.

Mahkamah juga memberi pendakwa raya tempoh sebulan bermula 6 Mac untuk memfailkan rayuan berkaitan keputusan kes tersebut. Tempoh itu tamat pada 6 April.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat