JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki yang menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas dan dalam masa sama memandu di bawah pengaruh alkohol.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Azrul Hisham Mohd Shaffie berkata kejadian yang berlaku kira-kira 5.30 pagi tadi membabitkan anggota trafik di Bangunan Sultan Iskandar yang bertugas di laluan bas keluar Malaysia.
“Anggota telah menahan sebuah motokar (kereta) kerana tersalah masuk laluan bas ke Singapura.
“Semasa melakukan pemeriksaan, pemandu dan penumpang tidak memberi kerjasama dan telah membuat provokasi kata-kata kesat terhadap anggota bertugas.
“Pemandu adalah warga tempatan berusia 25 tahun, manakala penumpang seorang penduduk tetap warga Australia berusia 29 tahun,” katanya dalam kenyataan media pada Sabtu.
Beliau menyatakan ujian pernafasan mendapati kadar alkohol melebihi had ditetapkan manakala semakan rekod mendapati tiada rekod jenayah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 45 (1) Akta Pengangkutan Jalan dan Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan.
Polis menyeru mana-mana orang awam mempunyai maklumat berkaitan menyalurkan info ke balai polis berdekatan.