Oleh: Aliyaa Azmi
RIBUAN penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam tadi disajikan dengan kejutan istimewa apabila kumpulan wanita sensasi era 90-an, Elite, dan bintang Akademi Fantasia musim kedua, Adam, tampil berduet bersama kumpulan KRU pada malam pertama Konsert GenKRU.
Adam menghangatkan pentas dengan lagu Terhangat di Pasaran bersama KRU, manakala kemunculan Elite menerusi lagu Di Pintu Syurga mengundang sorakan gemuruh dan tepukan tanpa henti.
Menurut Hasniza Hasim, 36, yang hadir ke konsert bersama rakan-rakan sekolahnya, dia berasa seperti kembali ke zaman persekolahan apabila menyaksikan kemunculan mengejut kumpulan Elite yang pernah menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu.
“Kami memang tak sangka Elite akan muncul. Terus terimbau zaman kegemilangan girl group dulu. Memang legend!” katanya.
Seorang lagi penonton, Farah Zulaikha, 33, berkata suasana dewan berubah meriah sebaik sahaja Elite muncul di pentas.
“Terus semua bangun dan bersorak! Macam mimpi tengok mereka masih boleh perform dengan penuh tenaga dan vokal yang mantap,” ujarnya.
Elite yang terdiri daripada Abby Abadi, Sasha Saidin, Watie Sadali, Azza Zawari dan Linda Rafar tampil anggun dan berkarisma, membuktikan pesona mereka kekal utuh di hati peminat.
Kejutan lain turut mencuit hati penonton apabila montaj Datuk AC Mizal ditayangkan di skrin gergasi dengan ‘pengumuman khas’ melantik Yusry sebagai penyanyi rap.
Pentas turut bertukar sayu saat KRU menyanyikan lagu Perpisahan Terasing, yang digabungkan secara khas dengan rakaman suara Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, mencipta momen penuh emosi buat para penonton.
Konsert GenKRU akan bersambung malam ini untuk hari kedua, dan peminat pastinya menantikan lebih banyak kejutan serta kemunculan istimewa daripada artis-artis yang pernah mewarnai era kegemilangan industri muzik tanah air.
Baca juga: