KKM Perkenal Saringan Penyakit Paru-Paru Guna AI

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan transformasi kaedah saringan dan diagnostik penyakit paru-paru menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) khususnya bagi pengesanan awal kanser paru-paru di bawah Inisiatif Kesihatan Paru-Paru 2025–2030.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif itu adalah pelan komprehensif KKM dalam menangani beban penyakit paru-paru melalui strategi pencegahan, saringan awal, rawatan dan kerjasama rentas sektor.

“Inisiatif ini menyatukan tindakan terhadap penyakit tidak berjangkit seperti asma dan kanser paru-paru serta penyakit berjangkit seperti TB dan pneumonia.

“Ia juga memanfaatkan teknologi AI dalam saringan X-ray dada untuk meningkatkan pengesanan awal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau berkata, resolusi bagi Inisiatif Kesihatan Paru-Paru 2025–2030 akan dibawa ke peringkat global melalui Perhimpunan Kesihatan Sedunia pada Mei ini,

“Ini merupakan langkah penting bagi mengarusperdanakan kesihatan paru-paru dalam agenda kesihatan global, dan menyeru komitmen WHO serta negara-negara anggota dalam menangani krisis senyap ini secara menyeluruh,” katanya lagi.

Dr Dzulkefly menegaskan bahawa kesihatan paru-paru adalah asas kepada kesejahteraan rakyat dan ketahanan sistem kesihatan negara.

“Inilah semangat Malaysia MADANI, bukan hanya memperjuangkan kesihatan rakyat sendiri, tetapi juga menunjukkan kepimpinan dalam memperjuangkan hak kesihatan sejagat,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat