PM Ucap Tahniah Lawrence Wong, Tegas Perkukuh Hubungan Malaysia -Singapura

PETALING JAYA: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong susulan kemenangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya umum negara itu.

Dalam kenyataannya, Anwar menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Wong dan mendoakan kejayaan beliau serta pasukannya dalam meneruskan tanggungjawab memimpin republik itu.

“Tahniah kepada Perdana Menteri Lawrence Wong atas kejayaan memimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) meraih kemenangan dalam pilihan raya umum Singapura. Saya doakan anda dan pasukan terus cemerlang dalam penggal baharu ini,” kata Anwar dalam hantaran di Facebook.

Anwar turut menegaskan bahawa kemakmuran dan keselamatan Malaysia serta Singapura tidak dapat dipisahkan, kerana kedua-dua negara bukan sahaja berjiran secara geografi, tetapi juga ikatan kekeluargaan dan hubungan akrab yang telah lama terjalin.

Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dua hala di semua peringkat, terutamanya dalam menghadapi cabaran global dan ketidaktentuan dalam perdagangan antarabangsa.

Anwar juga optimis bahawa Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) mampu menjadi contoh cemerlang kejayaan kerjasama dua negara serantau.

“Kita berpeluang menjadikan JS-SEZ sebagai contoh cemerlang kejayaan yang boleh dicapai oleh negara jiran melalui keyakinan dan matlamat bersama.

“Saya menantikan usaha memperkukuh hubungan istimewa ini pada masa-masa mendatang,” kata Anwar.

Lawrence Wong mendapat mandat kukuh selepas PAP pimpinannya berjaya memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) semalam.

Malah, kemenangan PAP kali ini dianggap satu kemenangan besar dengan parti itu menerima undi sah sebanyak 65.57 peratus, sekitar empat mata peratusan lebih tinggi daripada 61.24 peratus dalam GE2020.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat