Israel lulus pelan luas serangan, cubaan takluk Semenanjung Gaza

GAZA: Israel sekali lagi mencabuli undang-undang antarabangsa apabila dengan rakusnya meluluskan pelan memperluaskan operasi ketenteraan di bumi Gaza malah mahu menakluk seluruh wilayah itu secara haram.

Wartawan lapangan BBC News yang berada di Baitulmaqdis memaklumkan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bersama kabinetnya bersetuju untuk melancarkan satu lagi operasi ketenteraan yang berskala besar dengan alasan mahu melenyapkan Hamas dari Gaza serta membebaskan tawanan tebusan rakyat haram mereka.

Tanpa berselindung lagi, Netanyahu turut mahu memindahkan seluruh penduduk Gaza yang kira-kira 2.1 juta itu keluar daripada kediaman mereka yang kononnya ‘perpindahan demi keselamatan rakyat Palestin’.

Walaupun, tidak mengulas secara terperinci jumlah wilayah yang bakal ditawan tentera Israel, Netanyahu menegaskan bahawa ‘mereka tidak bukan sekadar masuk dan keluar begitu sahaja’ dari Gaza.

Kabinet haram itu bersetuju untuk membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan melalui syarikat-syarikat swasta, sekali gus menamatkan sekatan dua bulan yang menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyebabkan krisis bekalan makanan yang serius.

Namun, PBB dan agensi bantuan antarabangsa lain menyatakan rancangan tersebut melanggar prinsip kemanusiaan asas dan mereka tidak akan bekerjasama.

Seorang pegawai Hamas pula menyatakan bahawa kumpulan itu menolak sebarang “tekanan dan ugutan” daripada Israel.

Ketika ditanya mengenai rancangan Israel untuk memperluas serangan, bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengulangi komitmen untuk membantu menyalurkan makanan kepada penduduk Palestin.

Dalam perkembangan yang sama, antara kuasa besar iaitu United Kingdom (UK) tampil bersuara dan menyatakan rasa tidak setuju dan menyokong tindakan Israel mahu menakluk Gaza kerana bimbang akan meningkatnya jumlah korban serta penderitaan rakyat Palestin.

Menurut laporan media Israel, peringkat awal pelan ini akan melibatkan penaklukan kawasan tambahan di Gaza dan peluasan zon penampan yang ditetapkan Israel di sepanjang sempadan wilayah tersebut.

Katanya, langkah itu bertujuan memberikan kelebihan kepada Israel dalam rundingan dengan Hamas mengenai gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

Sumber keselamatan Israel memaklumkan bahawa pelan itu tidak akan dilaksanakan sehingga selepas lawatan Presiden Donald Trump ke negara haram itu pada 13 hingga 16 Mei ini.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan dari parti sayap kanan, Bezalel Smotrich berkata dalam satu persidangan di Baitulmaqdis bahawa Israel akan ‘akhirnya menduduki Semenanjung Gaza’,” petik laporan Reuters.

Pada perkembangan yang sama, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan jumlah terkini rakyatnya yang mati syahid akibat dibunuh oleh Israel iaitu 52,567 manakala selebihnya adalah 118,610 mengalami kecederaan sejak perang genosid yang dilancarkan oleh Israel pada 7 Oktober tahun lalu.

Anda Mungkin Berminat