KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) memohon lanjutan masa sebulan untuk memutuskan representasi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berhubung tiga pertuduhan tambahan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dari SRC International Sdn Bhd.
Pendakwa raya memaklumkan bahawa keputusan masih belum dibuat dan memohon tempoh tambahan bagi memberikan maklum balas.
Susulan itu, mahkamah menetapkan 11 Jun sebagai tarikh bagi pihak pendakwaan mengemukakan perkembangan terkini kes.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, membangkitkan isu kelewatan AGC dalam memberikan keputusan dan memohon agar anak guamnya dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).
Beliau berkata, permohonan representasi itu telah tergantung hampir dua tahun sejak Julai 2023.
Selain itu, Shafee mencadangkan agar kes ini digugurkan sepenuhnya kerana kelewatan pihak pendakwaan.
Beliau berkata, sekiranya pihak berkuasa mahu mendakwa semula Najib pada masa akan datang, itu adalah hak mereka.
Najib sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan menerima wang haram berjumlah RM27 juta yang dimasukkan ke dalam akaun banknya di AmIslamic Bank pada 8 Julai 2014.
Kes ini tertakluk di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda RM5 juta, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.