KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) mengambil tindakan tegas terhadap individu dan entiti perniagaan termasuk warga asing yang dikesan mengelak daripada membayar cukai menerusi pelaksanaan OP Tuntas bermula semalam.
Operasi selama empat hari sehingga 8 Mei itu menyasarkan 1,413 pembayar cukai yang gagal mematuhi perundangan percukaian negara, termasuk peniaga asing dalam sektor perdagangan dan perkhidmatan di Lembah Klang.
Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, berkata operasi berfokus itu dilaksanakan bagi mengekang ketirisan hasil negara selain memastikan tiada pihak terkecuali daripada tanggungjawab percukaian.
“Sebahagian besar entiti disasarkan adalah perniagaan dikendalikan warga Bangladesh dan Filipina yang tidak memiliki fail cukai serta tidak mengisytiharkan pendapatan seperti ditetapkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
“Tindakan ini bagi memastikan keadilan sistem percukaian terpelihara dan semua pihak, termasuk warga asing yang menjalankan aktiviti ekonomi di negara ini, turut memikul tanggungjawab sama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan OP Tuntas di Cawangan Guaman Lembah Klang, Kompleks Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim (KKJTAH), semalam.
Sebanyak 400 pegawai HASiL dan 50 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan bagi menyerahkan dokumen tindakan mahkamah dan notis cukai tertunggak.
Operasi membabitkan lima Cawangan Khas iaitu Cawangan Guaman Lembah Klang (CGLK), Cawangan Pembayar Cukai Asing (CPCA), Cawangan Pembayar Cukai Besar (CPCB), Cawangan Industri Khusus (CIK) dan Cawangan Cukai Multinasional (CCM).
HASiL turut memberi jaminan akan memperluaskan tindakan pematuhan berasaskan data dan kerjasama rentas agensi bagi memastikan budaya patuh cukai terus diperkukuh, khususnya dalam kalangan entiti berisiko tinggi.
Baca juga: