CRM Perlu Perkukuh Kerjasama Penyelidikan dengan Institusi Pendidikan – PM

Oleh: Aliyaa Azmi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar Clinical Research Malaysia (CRM) memperkukuh sinergi bersama institusi pendidikan dan penyelidikan tempatan dalam usaha mempertingkatkan keberkesanan sistem penjagaan kesihatan negara.

Dalam ucapannya ketika merasmikan CRM Trial Connect 2025 hari ini, Anwar berkata kerjasama yang mantap antara CRM dengan fakulti perubatan dan universiti tempatan penting bagi memastikan penyelidikan perubatan dijalankan secara menyeluruh, terarah dan memberi impak besar kepada rakyat.

“Setiap fakulti perubatan mesti dirangkul bersama supaya semua kegiatan dapat dijalankan secara bersama. Dengan cara ini, kita akan pastikan hasilnya jauh lebih berkesan,” katanya.

Anwar turut menekankan bahawa latihan dalam bidang perubatan bukan sekadar teori, tetapi menyentuh soal ihsan dan komitmen dalam membantu rakyat yang sedang menanggung kesakitan.

“Saya dapat menyaksikan profesional seperti jururawat, teknisyen dan doktor yang bekerja dengan passion, prihatin dan komitmen luar biasa. Latihan mereka adalah latihan mendampingi rakyat yang dalam kesakitan dan derita. Itu sangat mengesankan,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan tentang cabaran utama dalam sektor kesihatan, iaitu mengawal kos perubatan yang semakin meningkat. Menurutnya, keuntungan berlebihan yang diperoleh syarikat besar dalam industri perubatan turut menjadi beban kepada pesakit dan kerajaan.

“Industri perubatan ini juga boleh membebankan. Keuntungan yang terlalu tinggi tanpa mengingat beban kepada pengguna adalah satu masalah. Sebab itu CRM punya tugas besar,” tegas beliau.

Anwar berkata, CRM tidak seharusnya bergerak secara bersendirian, sebaliknya perlu menjalin kerjasama rapat dengan institusi seperti Akademi Sains Negara dan Majlis Sains Negara agar segala inisiatif penyelidikan berada dalam satu ekosistem bersepadu.

Malah, beliau turut mencadangkan pengukuhan strategi kerjasama serantau dengan pusat penyelidikan utama di negara-negara ASEAN seperti Singapura, Jakarta, Bangkok dan Manila untuk menjayakan kajian bersama serta memperkenalkan rawatan baharu yang lebih bersesuaian dengan iklim dan keperluan rantau ini.

Majlis CRM Trial Connect 2025 yang berlangsung pada Khamis menghimpunkan para penyelidik, pengamal perubatan serta industri berkaitan untuk memperkukuh jaringan dan mempercepatkan pembangunan penyelidikan klinikal di Malaysia.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat