KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan siri perbualan telefon bersama tiga rakan sejawat dari Australia, Timor-Leste dan Thailand dalam usaha memperkukuh hubungan dua hala serta kerjasama serantau.
Dalam kenyataannya, Anwar memaklumkan beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese; Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão; serta Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
Perbualan melibatkan pelbagai isu penting termasuk perkembangan semasa di peringkat global dan ASEAN, kesan tarif Amerika Syarikat, serta perancangan ke arah kerjasama ekonomi dan pelaburan yang lebih erat.
“Dalam perbualan saya bersama Anthony Albanese, saya turut menyampaikan jemputan rasmi untuk beliau melawat Malaysia bagi mengukuhkan lagi persahabatan yang terjalin, khususnya selepas kejayaan beliau mempertahankan jawatan sebagai Perdana Menteri Australia bagi penggal kedua,” katanya.
Menurut Anwar, beliau dan Kay Rala Xanana Gusmão turut membincangkan isu krisis kemanusiaan di Myanmar, serta peranan Timor-Leste sebagai anggota tetap ASEAN menjelang Sidang Kemuncak ASEAN yang akan berlangsung di Kuala Lumpur hujung bulan ini.
Sementara itu, perbualan bersama Paetongtarn Shinawatra menumpukan kepada kemajuan Dialog Damai Selatan Thailand yang memerlukan pendekatan berasaskan keamanan, tanpa melibatkan sebarang unsur keganasan.
“Malaysia terus komited memperkukuh hubungan serantau yang harmoni dan saling menguntungkan, demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama di seluruh ASEAN dan Asia,” tambahnya.
Baca juga: