Harimau Malaya Uji Taring Cape Verde Sebelum Bertemu Vietnam

PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan skuad Harimau Malaya akan menentang pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei ini jam 9 malam.

Menurut FAM, perlawanan itu menjadi sebahagian daripada persiapan menjelang aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tambah FAM, selain aksi rasmi itu, kedua-dua pasukan turut dijadual bertemu sekali lagi dalam satu perlawanan latihan tertutup di Bukit Jalil pada 3 Jun.

Skuad kendalian Peter Cklamovski sebelum ini membuka kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Nepal manakala Vietnam menewaskan Laos 5-0.

Tiket perlawanan menentang Cape Verde dan Vietnam akan mula dijual secara dalam talian menerusi www.tickethotline.com.my mulai Isnin, 12 Mei, jam 10 pagi.

Untuk aksi menentang Cape Verde, harga tiket terbuka ialah RM40 manakala tiket kanak-kanak (6–12 tahun) berharga RM5. Bagi perlawanan menentang Vietnam, tiket terbuka dijual pada harga RM40, grandstand RM60, premium RM70 dan tiket kanak-kanak RM5.

FAM turut memaklumkan bahawa kesemua tiket hanya akan dijual secara dalam talian dan tiada jualan fizikal di stadium.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat