PUTRAJAYA: Kerajaan MADANI mewajibkan kehadiran majikan di pintu keluar antarabangsa semasa proses daftar keluar pekerja asing mereka.
Ini merupakan sebagai sebahagian daripada langkah memperketatkan pemantauan dan kawalan terhadap pengurusan pekerja asing di negara ini.
Perkara itu diumumkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kali Ke-13, Bil. 1 Tahun 2025 yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Menurut kenyataan bersama kedua-dua kementerian, kehadiran majikan adalah langkah penting dalam memastikan proses kepulangan pekerja asing dilakukan secara sah, tersusun dan bebas daripada eksploitasi.
“Kegagalan majikan untuk hadir semasa proses daftar keluar boleh mengakibatkan tindakan tegas diambil termasuk sekatan terhadap permohonan kuota baharu pekerja asing dan urusan imigresen lain,” tegas kenyataan itu.
Langkah ini adalah sebahagian daripada pendekatan Kerajaan MADANI dalam menambah baik tadbir urus tenaga kerja asing dan memastikan hak serta kebajikan semua pihak pekerja, majikan dan negara sentiasa terpelihara.
Dalam mesyuarat tersebut, turut dipersetujui ialah keputusan membenarkan pertukaran majikan merentasi sektor penggajian, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.