Maritim Malaysia selamatkan nelayan cedera parah di Pulau Bruit

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dilaporkan telah memberi bantuan segera ke atas seorang nelayan lelaki yang mengalami kecederaan tangan di Pulau Bruit, Wilayah Muka, Sarawak malam tadi.

Menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya pada Khamis, Maritim Malaysia melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching telah mengkoordinasikan Medical Evacuation (MEDEVAC) ke atas seorang kru bot nelayan tempatan kelas C yang mengalami kecederaan parah di tangan kanan ketika mengendalikan peralatan kabel ‘Winch’ .

“Mangsa yang dikenali sebagai Mohd Rafi bin Abdullah, 26 tahun, berasal dari Bintangor, Sarawak dilaporkan tersepit di winch wire cable semasa proses mengangkat papan tunda pada sekitar pukul 8.30 malam.

“Setelah insiden berlaku, tekong bot terus menghubungi Zon Maritim Tanjung Manis untuk bantuan,” kata Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Mahkos Anak Juing menerusi kenyataan yang sama.

Kata kenyataan itu lagi, Zon Maritim Tanjung Manis dengan segeranya bertindak di saat menerima laporan yang diterima pada pukul 9:45 malam dengan menggerakkan bot PETIR 82 ke lokasi untuk memindahkan mangsa dari bot ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis.

Difahamkan, mangsa telah tiba di jeti terbabit pada jam 1.04 pagi sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Tanjung Manis dengan menaiki Ambulan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Sehingga laporan itu dikeluarkan mangsa dilaporkan stabil setelah mendapatkan rawatan.

“Orang ramai terutamanya komuniti maritim dinasihatkan agar sentiasa menitik beratkan faktor keselamatan ketika berada di laut dan sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Tanjung Manis, ZMTM melalui talian 011-35728765 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat