PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, mengumumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti dengan tekad memperkukuh kekuatan cabang serta jentera akar umbi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Menurut Nurul Izzah, kekuatan sebenar parti terletak pada keutuhan struktur di peringkat cabang yang menjadi tulang belakang perjuangan sejak lebih dua dekad lalu.
“Saya percaya bahawa nadi kekuatan KEADILAN sentiasa terletak pada cabang dan jentera akar umbi.
“Sekiranya saya dipilih kelak, misi utama saya adalah bekerjasama erat dengan anggota, pendukung dan sukarelawan khususnya di 50 kerusi marginal,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sambil menegaskan bahawa kemenangan PRU16 akan datang bukan hasil usaha individu, sebaliknya hasil kekuatan kolektif.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh kembali roh perjuangan KEADILAN, dengan menekankan keadilan sosial tanpa mengira kaum, latar belakang atau kepercayaan.
“Kita hanya mampu menang dengan menggandingkan kekuatan cabang, jentera akar umbi, menjalar kepada rakyat serta masyarakat menerusi kempen, khidmat dan strategi penerangan efektif yang menambat hati dan keperluan semua.
“Kita tidak boleh lagi bergerak secara terpisah antara pusat dan akar umbi. Kemenangan mampu dicapai dengan kehadiran yang menyantuni rakyat, dan jentera yang hidup dan berfungsi.
“Ini adalah saatnya untuk mengembalikan ideologi asal parti kita, menyatukan kekuatan KEADILAN demi membawa keadilan kepada semua,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Izzah menzahirkan rasa kecewa terhadap serangan bersifat peribadi yang dilemparkan sepanjang tempoh awal pemilihan parti, termasuk status perkahwinannya.
“Seruan saya kepada semua, jangan sesekali menyerang pimpinan atau sahabat seperjuangan secara biadab. Berhujahlah dengan fakta, bukan dengan emosi, hinaan atau gelaran kesat,” ujarnya lagi.
Beliau menyeru agar seluruh ahli parti terus memperkukuh kesepaduan, membina kekuatan dalaman dan menjaga adab dalam perbezaan pandangan.
Baca juga: