JEDDAH : Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, telah mengumumkan 14 dekri diraja pada Khamis yang menyaksikan rombakan besar-besaran dalam kepimpinan wilayah dan jabatan-jabatan utama kerajaan.
Memetik laporan Agensi Berita Saudi (SPA) dekri-dekri ini merangkumi pelantikan beberapa gabenor wilayah, pegawai tinggi kementerian serta penasihat di Mahkamah Diraja.
“Antara pelantikan yang diumumkan ialah perlantikan Putera Mohammed bin Abdulaziz sebagai Emir Wilayah Jazan dengan pangkat Menteri, menggantikan Putera Mohammed bin Nasser yang telah dilucutkan jawatannya,” kata kenyataan tersebut.
Dalam pelantikan yang sama, Putera Nasser bin Mohammed bin Abdullah bin Jalawi turut dinamakan sebagai Timbalan Emir Wilayah Jazan dengan pangkat cemerlang.
Sementara itu, Putera Fahd bin Saad bin Faisal bin Saad Al Abdulrahman telah dilantik sebagai Timbalan Emir Wilayah Al-Qassim.
Beliau yang kini memegang pangkat cemerlang turut dilepaskan daripada jawatannya sebagai ahli Majlis Syura.
Dalam rombakan kementerian, Dr. Nasser Al-Dawood yang sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri telah dipindahkan untuk memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pengawal Kebangsaan dengan pangkat Menteri.
Tempat beliau di Kementerian Dalam Negeri kini digalas oleh Putera Dr. Abdulaziz bin Mohammed bin Ayaf Al Muqrin, Penasihat Khas kepada Raja, yang dilantik sebagai Pemangku Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Turut menerima pelantikan baharu ialah Fahd Al-Askar yang kini memegang jawatan Timbalan Ketua Mahkamah Diraja dengan pangkat Menteri, serta Tamim Al-Salem yang telah dinamakan sebagai Timbalan Setiausaha Peribadi kepada Penjaga Dua Masjid Suci, juga dengan pangkat Menteri.
Selain itu, Putera Bandar bin Muqrin bin Abdulaziz telah dilantik sebagai Penasihat di Mahkamah Diraja dengan pangkat cemerlang.
Raja Salman turut mengumumkan pelantikan Dr. Mohammed Al-Tamimi sebagai Gabenor Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan Negara dengan pangkat Menteri, setelah beliau dilepaskan daripada jawatannya sebagai Gabenor Suruhanjaya Komunikasi, Angkasa dan Teknologi.
Dalam masa yang sama, Dr. Enas Al-Issa telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan dengan pangkat cemerlang.
Pelantikan lain yang diumumkan termasuk Abdullah Zaqzouq sebagai Ketua Hal Ehwal Peribadi Putera Mahkota Mohammed bin Salman dengan pangkat cemerlang, serta Hisham bin Abdulaziz bin Seif yang kini berkhidmat sebagai Penasihat kepada Menteri Pertahanan bagi Hal Ehwal Perisikan dengan pangkat cemerlang.
Rombakan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Arab Saudi dalam memperkukuh struktur pentadbiran serta memastikan keberkesanan dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan di peringkat tertinggi.
Baca juga: