PETALING JAYA: Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR Malaysia) menyokong ketegasan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang mengarahkan dua syarikat e-hailing, InDrive dan Maxim menghentikan operasi.
Penghantar Malaysia dalam satu kenyataan berkata, langkah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, amat dihargai kerana ia memberikan penjelasan yang sangat diperlukan oleh para pemandu syarikat berkenaan.
“Kesalahan ini bukan yang pertama. InDrive pernah dikenakan tindakan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), namun mereka tetap meneruskan operasi menggunakan kaedah lain meskipun dalam tempoh penggantungan.
“Tindakan ini mencerminkan penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang negara,” menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Tambah kenyataan itu lagi, kegagalan syarikat-syarikat tersebut mematuhi keperluan lesen PSV untuk pemandu mereka bukan sahaja menjejaskan keselamatan pengguna, tetapi juga mencabuli undang-undang dan mewujudkan ketidaksamarataan dalam industri.

Katanya, amalan tidak sah seperti penyerahan perkhidmatan kepada warga asing, khususnya di Sabah, turut dilaporkan dan membimbangkan pelbagai pihak.
“Amalan ‘Ali Baba’ ini menjejaskan pendapatan pemandu tempatan serta mendedahkan penumpang kepada risiko keselamatan tinggi.
“Kami mendesak tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas diambil terhadap pemilik lesen PSV yang menyalahgunakan lesen mereka,” tegas Penghantar Malaysia.
Dalam masa yang sama, Penghantar Malaysia turut menggesa agar kerajaan memperkasa kerangka perundangan Industri GiG, khususnya dalam sektor e-hailing dan p-hailing, sejajar dengan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GiG Malaysia (SEGiM) yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Setiap dasar dan perundangan baharu perlu mengambil kira keseimbangan antara semua pihak berkepentingan dan keberkesanan pelaksanaan.
“Kita tidak mahu perundangan baharu hanya menambah beban kepada penyedia perkhidmatan sah tanpa menyelesaikan isu asas,” katanya lagi.
Persatuan itu turut menyeru agar pemantauan dan tindakan ke atas syarikat-syarikat e-hailing dilaksanakan secara menyeluruh dan berterusan agar integriti industri terus terpelihara.
Baca juga: