Pemilihan PKR: 12 Calon Rebut Jawatan Naib Presiden

PETALING JAYA: 12 pemimpin mengesahkan pencalonan bagi perebutan jawatan Naib Presiden PKR pada pemilihan parti itu yang dijadual berlangsung hujung bulan ini.

Daripada jumlah pencalonan itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menunaikan hasrat masing-masing untuk mempertahankan jawatan.

Lapan lagi yang turut bersaing ialah Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan; Timbalan Ketua Penerangan I PKR merangkap Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Pengerusi Institut Keusahawanan Negara, Mustaffa Kamil Ayub serta Ketua Cabang PKR Jempol, Manivanan Gowin.

Turut menyertai saingan ialah ahli MPP PKR, Abun Sui Anyit, Hee Loy Sian, R Yuneswaran.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata, jawatan Presiden PKR dan Ketua AMK tidak dicabar selepas tempoh bagi pencalonan pemilihan parti itu berakhir.

Proses pencalonan bagi pemilihan peringkat pusat dibuka selama dua hari bermula jam 12 tengah malam 8 Mei hingga jam 11.59 malam tadi.

Proses bantahan ditetapkan pada 11 dan 12 Mei ini, diikuti rayuan bantahan (13-14 Mei), tarikh akhir penarikan diri (14 Mei), senarai muktamad calon (15 Mei), tempoh kempen (15-22 Mei) dan pengundian pada 23 Mei.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat