CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka 36 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu berkaitan krisis tenaga global di media sosial dan platform digital.
Menurut MCMC, seramai 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Selain itu, enam kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian dan tindakan lanjut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan” menurut kenyataan itu pada Rabu.
MCMC menegaskan pihaknya memandang serius penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar bertanggungjawab dalam penggunaan media sosial dan tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta ketenteraman awam.
Baca juga:








