Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Seramai 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia bakal menikmati kadar tarif elektrik yang lebih adil dan progresif, apabila pelaksanaan jadual tarif elektrik baharu dikuatkuasakan bermula 1 Julai 2025 hingga 31 Disember 2027.
Menerusi satu kenyataan media di laman Facebook Suruhanjaya Tenaga (ST), pelaksanaan itu dibuat di bawah kerangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR), selaras Seksyen 26 Akta Bekalan Elektrik 1990.
Jelas ST, perubahan dalam Tempoh Regulatori Keempat (RP4) ini merangkumi tiga komponen utama iaitu kadar purata tarif asas, jadual tarif baharu, dan mekanisme pelarasan kos bahan api.

“Kadar purata tarif asas diselaraskan berdasarkan anggaran kos pembekalan elektrik bagi tempoh RP4 dan ditetapkan pada kadar 45.40 sen/kWj berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024.
“Dengan pelarasan ini, purata kos keseluruhan tarif elektrik berkurangan sehingga 19 peratus berbanding Tempoh Regulatori Ketiga (RP3),” katanya.
Dalam penstrukturan baharu itu, ST turut memaklumkan pengkategorian semula pengguna kepada dua kumpulan utama, iaitu domestik dan bukan domestik, mengikut tahap penggunaan voltan rendah, sederhana dan tinggi.
Setiap kategori akan melibatkan penetapan kadar berasingan untuk caj tenaga, kapasiti, rangkaian dan peruncitan, berdasarkan kos sebenar.
Bagi pelarasan kos bahan api pula, ST memperkenalkan mekanisme baharu iaitu ‘Automatic Fuel Adjustment’ (AFA) yang lebih dinamik, menggantikan mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).
AFA membolehkan kos penjanaan disesuaikan secara automatik mengikut harga bahan api semasa dan kadar tukaran asing, dan maklumat berkaitan akan dikemas kini secara bulanan di laman web rasmi ST.
Dalam pada itu, jadual tarif baharu itu akan mula diguna pakai dalam bil elektrik bagi penggunaan bermula Julai 2025.
Untuk maklumat terperinci mengenai kadar dan kategori baharu, orang ramai boleh menyemak di laman sesawang yang tertera iaitu www.mytnb.com.my/tariff bermula 21 Jun 2025, jam 12 tengah hari, manakala kalkulator tarif elektrik untuk anggaran bil akan tersedia mulai 23 Jun 2025.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan ke TNB CareLine di 1-300-88-5454, emel [email protected] atau melalui platform rasmi TNB.
Baca juga: