23 aktivis Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla dijadual pulang Isnin ini

SEPANG: Seramai 23 delegasi Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dan kini berada di Istanbul, Turkiye selepas dibebaskan daripada tahanan tentera Israel, dijadualkan berlepas pulang ke tanah air pada Isnin ini, kata Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Al-Kahery.

Menurut beliau, semua delegasi tiba selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia selepas berlepas dari Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.40 petang menggunakan pesawat Turkish Airlines yang diurus dan ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Turkiye.

“Ketibaan mereka disambut oleh wakil Kedutaan Malaysia di Turkiye, pegawai Wisma Putra serta wakil kerajaan Turkiye sebelum ditempatkan di hotel sekitar Istanbul untuk berehat atas jemputan dan tajaan kerajaan negara itu,” katanya dalam sidang media di sini malam ini.

Sani menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta kerajaan Malaysia atas usaha diplomatik yang gigih sehingga membolehkan kesemua rakyat Malaysia dibebaskan daripada tahanan Israel.

“Sumud Nusantara amat terharu dan berterima kasih atas kepedulian serta kepimpinan Perdana Menteri, yang menggunakan hubungan diplomatik antarabangsa dalam proses rundingan pembebasan 23 rakyat Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan Jemaah Menteri, khususnya Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari atas peranan mereka dalam membantu usaha pembebasan tersebut.

Sani turut memaklumkan bahawa empat rakyat Malaysia lain yang berada di atas kapal pemerhati Jong, serta beberapa individu yang kini ditempatkan di Cyprus dan Jordan, berada dalam keadaan baik dan dijangka bergabung dengan delegasi utama di Istanbul sebelum berlepas pulang bersama.

Katanya, kejayaan membawa keluar kesemua rakyat Malaysia merupakan hasil rundingan diplomatik antara kerajaan Malaysia dengan kerjasama Turkiye, Jordan dan Amerika Syarikat.

Selain delegasi Malaysia, 137 daripada 462 peserta misi GSF dari pelbagai negara — termasuk Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Mauritania, Switzerland, Tunisia dan Jordan — turut dibebaskan dengan bantuan kerajaan Turkiye.

“Sumud Nusantara menyeru semua pendukung untuk terus mendoakan agar baki delegasi GSF yang masih ditahan dapat dibebaskan segera,” tambah beliau.

Pada Khamis lalu, 23 aktivis Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera Israel selepas kapal mereka dipintas di perairan Zon Merah R3 Laut Mediterranean dan kemudiannya dibawa ke Pelabuhan Ashdod, Israel.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat