Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Seramai 23 rakyat Malaysia yang ditahan di Israel akan diterbangkan ke Istanbul, Turki hari ini dengan pesawat khas dari Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, proses membawa keluar kumpulan aktivis dan sukarelawan terbabit dilakukan hasil kerjasama penuh kerajaan Turki selepas persetujuan dicapai dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
“Alhamdulillah, sebentar tadi saya dapat pengesahan bahawa 23 rakyat Malaysia kini menuju ke Lapangan Terbang Ramon dan akan diterbangkan ke Istanbul dengan pesawat khas dari Turki,” katanya dalam taklimat Usaha Pembebasan Aktivis dan Sukarelawan Malaysia serta Pelan Damai Gaza, pada Sabtu.
Anwar berkata, sebaik tiba di Istanbul, kumpulan berkenaan akan ditempatkan di sana selama satu hingga satu setengah hari bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan akibat trauma dialami semasa tahanan.
Katanya, rundingan pembebasan itu melibatkan pelbagai pihak termasuk Kementerian Luar Negeri, kerajaan Jordan, Qatar serta Turki, selain perbincangan beliau sendiri dengan pemimpin-pemimpin negara terbabit.
“Langkah ini hasil rundingan diplomatik yang panjang dengan pelbagai pihak termasuk Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution; serta wakil khas Presiden Amerika Syarikat dan pemimpin Qatar,” katanya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kejayaan membawa keluar rakyat Malaysia ini menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperjuangkan kemanusiaan dan keamanan sejagat, khususnya dalam isu Gaza.
“Bagi pihak Malaysia, kita akan terus mendukung usaha damai yang menjamin kebebasan dan kemerdekaan Palestin,” katanya.
Baca juga:








