Oleh: Tyah Helmi
SEPANG: Malaysia mencatat detik bersejarah apabila kesemua 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) selamat pulang ke tanah air selepas melalui pengalaman getir ditahan secara paksa oleh tentera Israel.
Mereka tiba di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tepat pukul 10.07 malam, Selasa, menaiki pesawat Emirates EK452.
Suasana di balai ketibaan bertukar menjadi lautan emosi dan semangat apabila para sukarelawan disambut dengan sorakan bergema, laungan “Bebas-Bebas Palestin, Hidup Sumud” serta nyanyian patriotik ‘Inilah Barisan Kita’ yang menggetarkan jiwa seakan menyambut kepulangan pejuang dari medan perang.
Lebih menyentuh hati, ahli keluarga yang menunggu sejak siang hari memeluk erat setiap sukarelawan sambil berlinang air mata melepaskan rindu dan kerisauan yang terpendam sejak mereka berlayar awal bulan lalu.
Majlis Kepulangan Wira Sumud Nusantara Malaysia turut digamatkan oleh kehadiran ribuan rakyat Malaysia yang hadir dengan semangat membara bagi menzahirkan sokongan terhadap perjuangan membebaskan Gaza.
GSF disertai oleh aktivis berpengalaman seperti Musa Nuwayri, Iylia Balqis, Hareez Adzrami, Haikal Luqman, Danish Nazram, Sul Adil, Taufiq Mohd Razif, Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Norhelmi Abd Ghani, Zulfadhli Khairudin, Mohd Asmawi dan Rusydi Ramli.
Turut serta ialah tokoh media, pendakwah bebas dan selebriti seperti Zainal Rashid Ahmad (ZRA), Razali Awang, Muhammad Abdullah, Rahmat Ikhsan, Farah Lee, Heliza Helmi, Ardell Aryana dan Zizi Kirana.
Majlis kepulangan turut diserikan dengan kehadiran pemimpin negara termasuk Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohammad Hasan; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu; Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil; Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi; Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid serta Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Halim.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa kesyukuran oleh Mufti Wilayah sebagai tanda syukur atas kepulangan selamat para sukarelawan yang sebelum ini ditahan di penjara Israel Katzion di Pelabuhan Asydod.








