23 Sukarelawan GSF Selamat Dibebas, Diplomasi Madani Berbuah Kejayaan

PETALING JAYA: Seramai 23 rakyat Malaysia yang terlibat dalam Misi Global Sumud Flotilla (GSF) – Sumud Nusantara telah selamat dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis Israel.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pembebasan itu menandakan kejayaan besar diplomasi Malaysia yang berani, berprinsip dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat.

Menurutnya, misi kemanusiaan tersebut, yang bertujuan menyampaikan bantuan dan solidariti kepada rakyat Palestin telah menyaksikan penyertaan aktif rakyat Malaysia bersama aktivis antarabangsa.

Namun katanya, kapal flotilla yang mereka naiki telah ditahan oleh pihak berkuasa Israel di perairan antarabangsa, mencetuskan kebimbangan dan desakan global terhadap tindakan tersebut.

“Kejayaan ini membuktikan kekuatan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keutuhan Diplomasi Madani — diplomasi yang berani, berprinsip dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat.

“Di bawah koordinasi kerajaan Malaysia, termasuk rundingan berlapis melibatkan beberapa negara – setiap langkah diatur dengan tenang dan bijaksana demi memastikan keselamatan warganegara kita terjamin,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri turut memainkan peranan penting dalam rundingan antarabangsa ini termasuk perbincangan dengan Wakil Khas Presiden Donald Trump, Steve Witkoff bagi memperkukuh saluran komunikasi dan menyokong usaha diplomatik Perdana Menteri.

“Inilah bukti nyata bahawa Kerajaan Madani bukan sekadar slogan tetapi sebuah kerajaan yang bekerja dengan ikhlas, berjuang dengan tekad dan mendahulukan keselamatan serta maruah rakyat Malaysia di mana jua mereka berada.

“Malaysia berdiri teguh bersama Palestin,” ujarnya.

Difahamkan, pembebasan itu adalah hasil rundingan intensif yang melibatkan pelbagai saluran diplomatik termasuk kerjasama dengan negara-negara sahabat dan wakil khas antarabangsa.

Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Dalam Negeri memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kebajikan kesemua individu yang ditahan termasuk menyediakan sokongan psikologi dan logistik sebaik mereka dibebaskan.

Anda Mungkin Berminat