24 Rakyat Palestin Terbunuh Sehari Sebelum Rundingan Gencatan Senjata Gaza Dimula

GAZA: Ketika dunia menanti sinar harapan melalui rundingan gencatan senjata Gaza yang dikendalikan Mesir bersama Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, rejim Israel terus melancarkan serangan berdarah yang meragut nyawa 24 lagi rakyat Palestin.

Menurut laporan Al Jazeera, serangan bertubi-tubi yang dilancarkan pada Ahad menyaksikan kematian tragis termasuk empat individu yang ditembak berhampiran pusat agihan bantuan di utara Rafah.

Difahamkan, Wakil Perunding Kumpulan Pejuang Hamas yang diketuai Khalil al-Hayya telah tiba di Sharm el-Sheikh, Mesir, bagi menghadiri rundingan secara tidak langsung bersama Israel.

Rundingan itu dijangka menumpukan kepada mekanisme gencatan senjata, pengunduran tentera pendudukan serta pertukaran tahanan.

Serangan terbaru ini menambah luka kepada krisis kemanusiaan yang berlarutan di Gaza, di saat usaha diplomatik mula digerakkan untuk menghentikan pertumpahan darah.

Keadaan di lapangan kekal tegang dengan ribuan rakyat Palestin terus bergelut mencari perlindungan dan bantuan asas.

Rundingan yang dijadualkan berlangsung pada Isnin itu dilihat sebagai peluang penting untuk meredakan konflik dan membuka ruang kepada penyelesaian jangka panjang.

Anda Mungkin Berminat