JOHOR BAHRU: Polis Johor Bahru melaksanakan Operasi Bersepadu Motosikal selama lapan jam awal pagi tadi, dengan hasil penguatkuasaan mencatatkan 247 saman serta 117 motosikal disita atas pelbagai kesalahan trafik.
Operasi yang tertumpu di sekitar Jalan Ismail Sultan iaitu kawasan yang sering dikaitkan dengan aktiviti samseng jalanan dan aduan ekzos bising menyaksikan pemeriksaan terhadap 215 individu dan 203 kenderaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru, ACP Raub Selamat berkata, tahap pematuhan undang-undang dalam kalangan penunggang motosikal masih rendah.
“Kesalahan utama melibatkan lesen memandu, nombor pendaftaran dan ubah suai ekzos.
“Selain saman, pihak kami turut menyita 117 motosikal untuk tindakan lanjut, termasuk kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi keselamatan serta diubah suai secara haram,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam operasi sama, seorang penunggang tempatan ditahan kerana menunggang motosikal curi, manakala seorang lelaki berusia awal 20-an disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas dikesan menunggang secara berbahaya.
Turut serta dalam operasi ialah Jabatan Alam Sekitar (JAS), yang mengeluarkan 21 kompaun dan 25 notis pemeriksaan semula terhadap motosikal yang gagal mematuhi piawaian pelepasan bunyi dan asap.








