25 PATI Ditahan Imigresen Di Sarawak

KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan 25 warga asing dalam satu operasi penguatkuasaan mengejut di dua tapak pembinaan sekitar Bahagian Kuching awal pagi tadi.

Pengarah Imigresen Sarawak, Abdul Halim Abang Naili berkata, operasi bersepadu yang bermula seawal jam 1 pagi itu melibatkan Pasukan Tindakan Khas (PTK) dan Unit Operasi JIMS, membabitkan seramai 51 anggota penguat kuasa.

“Operasi dilakukan susulan risikan awal yang mendapati lokasi terbabit menjadi tumpuan pekerja asing tanpa izin (PATI).

“Seramai 46 individu telah diperiksa, terdiri daripada 39 lelaki dan tujuh perempuan warganegara asing.

“Daripada jumlah itu, 25 individu telah ditahan, terdiri daripada 21 lelaki dan empat perempuan dan kesemua mereka merupakan warganegara Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan serta menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen bagi tindakan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“JIM menyeru orang awam dan majikan agar terus menyalurkan maklumat serta mematuhi undang-undang bagi membendung kegiatan pendatang tanpa izin di negeri ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat