Oleh: Aliyaa Azmi
KUALA LUMPUR: Dua puluh lima tahun bukan tempoh yang singkat, apatah lagi dalam dunia seni yang sentiasa berubah.
Namun, kumpulan nasyid tersohor tanah air, Inteam, membuktikan bahawa karya berteraskan nilai spiritual tetap utuh di hati peminat.
Bagi meraikan perjalanan seni mereka yang penuh makna, Inteam bakal menganjurkan konsert mega bertajuk ’25 Tahun Inteam Nur Kasih’ pada 1 Februari 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Konsert yang dianjurkan oleh ICON Entertainment, sebuah syarikat produksi yang diasaskan oleh Iman Tang dijangka menjadi penanda aras baharu dalam penganjuran konsert berunsur kerohanian di Malaysia.
Menurut Iman, konsert itu bukan sekadar persembahan muzik tetapi satu bentuk penghargaan terhadap perjuangan Inteam dalam menyampaikan mesej-mesej positif sejak penubuhan mereka pada tahun 2000.
“Sebagai penganjur, kami meraikan karyawan seni daripada pelbagai genre termasuk nasyid dan kerohanian.
“25 Tahun Inteam Nur Kasih amat istimewa kerana ia menandakan perjalanan panjang Inteam yang masih kekal relevan,” katanya pada sidang media yang berlangsung di JW Marriott Hotel Bukit Bintang, Rabu lalu.
Iman turut menyifatkan keempat-empat anggota Inteam iaitu Muhammad Hazamin Harun, Mohd Syahril Ab Khalid, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad sebagai figura seni yang konsisten dalam menyampaikan karya menyentuh jiwa seperti Nur Kasih, Dia, Kerana Cinta dan Kasih Kekasih.
“Lagu-lagu mereka sederhana tetapi menyentuh hati dan berkesan.
“Peminat pasti tidak akan rugi hadir ke konsert ini,” tambahnya.
Bagi Hazamin Harun yang mewakili Inteam, konsert ini adalah lambang kasih sayang yang tidak pernah putus antara mereka dan para peminat.
“Alhamdulillah, kami masih mendapat sambutan yang luar biasa.
“Konsert terakhir kami dulu sampai terpaksa tukar lokasi kerana terlalu ramai yang datang menyokong.
“Itu jadi bukti kasih peminat terhadap karya nasyid masih kuat,” ujarnya penuh syukur.
Menambahkan lagi keterujaan, enam pembeli tiket bertuah bakal memenangi pakej umrah tajaan Jay Ibrahim Al Islam Travel & Tour Sdn Bhd bernilai RM8,999 setiap seorang.
Hadiah lain termasuk dua unit skuter Modenas Elit 150s dan telefon pintar baharu turut menanti.
“Kami mahu konsert ini bukan sekadar hiburan tetapi menjadi acara menyantuni peminat yang setia bersama Inteam lebih dua dekad,” jelas Iman.
Tiket konsert kini boleh didapati menerusi laman web www.ticket2u.com.my/InteamNurKasih dengan harga bermula RM168 hingga RM488 merangkumi lapan kategori tempat duduk.