29 Warga Asing Ditahan Dalam Serbuan Pusat Hiburan di Pontian

PONTIAN: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 29 warga asing dalam serbuan serentak ke atas tiga pusat hiburan di sekitar Pontian.

Operasi Ops Gegar yang melibatkan 35 pegawai itu dijalankan sekitar jam 12 tengah malam, 30 Julai lalu.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, tangkapan melibatkan 17 wanita Vietnam, 11 wanita dan seorang lelaki warga Indonesia berusia antara 18 hingga 40 tahun.

“Mereka didapati menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan PLKS untuk bekerja sebagai pelayan pelanggan di pusat hiburan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut ditahan tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai pengurus dan penyelia premis.

“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), Seksyen 56(1)(l), Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 serta beberapa peraturan lain,” katanya lagi.

Menurut beliau, seramai 17 individu turut diberikan notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

“Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat