3 bot ditahan atas kesalahan pindah minyak tanpa kebenaran, bawa barang kawalan tanpa permit

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menahan tiga bot yang terlibat dalam pemindahan minyak tanpa kebenaran dan membawa barang kawalan tanpa permit dalam dua operasi berasingan pada Jumaat.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kapten Maritim Shahrizan Raman melaporkan bahawa maklumat risikan telah membawa kepada tangkapan pertama sebuah bot kargo tempatan yang membawa muatan barang kawalan tanpa permit dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Pulau Sebatik.

“Pemeriksaan mendapati dua lelaki tempatan berumur 26 dan 30 tahun mengendalikan bot tersebut.

“Bot itu ditahan kerana gagal mempamerkan sebarang permit berkaitan muatan yang dibawa,” katanya dalam kenyataan.

Pada petang yang sama, sebuah bot tunda dan sebuah bot kargo tempatan ditahan di Muara Sungai Bombalai semasa melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel secara ā€˜ship to ship transfer’.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kapal tersebut dijalankan oleh seorang warga tempatan dan lima pemegang pasport Indonesia berumur antara 34 hingga 44 tahun.

“Kedua-dua kapal tersebut didapati menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel tanpa sebarang permit kebenaran dan seorang daripada kru bot juga tidak memiliki permit kerja yang sah,” tambahnya.

Ketiga-tiga bot beserta muatan dan kru ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah pelbagai akta termasuk Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

Shahrizan memaklumkan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan lebih RM3.16 juta, dan beliau turut mengingatkan komuniti maritim untuk mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran.

Maritim Malaysia akan terus memperkasakan penguatkuasaan undang-undang di perairan Timur Sabah untuk membanteras aktiviti haram.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat