Seramai tiga mangsa maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Jalan Kunak, Tawau, Sabah pada Jumaat.
Mangsa, Noorhashim Ambutong, 41, Tima Amihusin, 74, dan Alkawi Ali, 30, yang menaiki kereta jenis Proton Iswara disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, lima mangsa lain cedera dari kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D Max dan motosikal.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.20 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Oma Tome digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan tiga kenderaan jenis Proton Iswara, Isuzu D-Max dan sebuah motosikal.
“Terdapat tiga mangsa dalam kereta Proton Iswara disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan KKM,” katanya.
Menurutnya, tiga mangsa menaiki kenderaan Isuzu D-Max sementara dua mangsa menaiki motosikal dilaporkan mengalami kecederaan.
“Semua mangsa yang cedera diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS dan pegawai perubatan KKM di lokasi kejadian.
“Seterusnya semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS dan ambulans,” katanya.
Tambahnya lagi, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 4.50 petang.
Baca juga:








