PARLIMEN | Sebanyak 30 kes penipuan melibatkan agensi pengambilan pembantu rumah tidak berlesen, termasuk sindiket ‘maid-scammer’ dalam talian, direkodkan antara Januari 2023 hingga Oktober 2025.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata jumlah itu mewakili separuh daripada keseluruhan kes penipuan agensi pekerja yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), dengan kerugian terkumpul mencecah RM269,772. Sebanyak 11 kes dicatat daripada jumlah itu pada 2023, empat kes pada 2024, manakala 2025 menunjukkan peningkatan ketara dengan 15 kes sehingga Oktober.
“Kenaikan ini menunjukkan sindiket kembali aktif dan agresif, terutama melalui platform digital, iklan palsu dan tawaran pengambilan pembantu rumah yang tidak wujud,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar) di Dewan Rakyat pada Isnin.
Abdul Rahman menegaskan bahawa hanya Agensi Pekerjaan Swasta (APS) berlesen dibenarkan menjalankan aktiviti merekrut dan menempatkan pekerja asing seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246). Individu yang menguruskan pengambilan pekerja tanpa lesen boleh didenda sehingga RM200,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sejak 2023, sebanyak 13 pendakwaan telah dibuat terhadap APS atas pelbagai kesalahan termasuk merekrut tanpa lesen, kegagalan mematuhi syarat lesen serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri ketika menjalankan aktiviti perekrutan. Mahkamah turut mengenakan denda keseluruhan berjumlah RM205,000.
Bagi memperkukuh kawalan, kerajaan melalui kerjasama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri melaksanakan tindakan bersepadu merangkumi penguatkuasaan, pemantauan agensi, perlindungan pengguna serta kempen kesedaran. Ini termasuk operasi bersama PDRM dan Jabatan Imigresen, pemantauan iklan dalam talian, pemeriksaan berkala agensi serta audit pematuhan.
Kerajaan turut menyiarkan senarai agensi berlesen yang dibatalkan di portal rasmi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia bagi memudahkan orang awam membuat semakan dan mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Menurut Abdul Rahman, semua langkah ini bertujuan memastikan pencegahan dapat dilakukan dari peringkat awal serta memastikan sindiket yang aktif dikenal pasti dan ditumpaskan dengan lebih tegas demi melindungi pengguna dan menjaga integriti industri.
Baca juga:








