32,000 Pekerja Raih Manfaat Dasar Gaji Progresif, Naik Sehingga 16 Peratus

PARLIMEN | Dasar Gaji Progresif (DGP) yang diperkenalkan kerajaan sejak Jun 2024 kini mula menunjukkan hasil apabila seramai 32,000 pekerja di seluruh negara menikmati kenaikan gaji sehingga 16 peratus, kata Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.

Beliau berkata, pencapaian itu melibatkan kira-kira 3,000 majikan yang telah melaksanakan dasar tersebut dengan jumlah insentif keseluruhan sebanyak RM34 juta telah disalurkan setakat November lalu.

“Semua pekerja ini telah mendapat kenaikan gaji dan mereka juga perlu memenuhi syarat minimum latihan 21 jam setahun atau melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu sebagai antara syarat melayakkan pembayaran insentif,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut Sim, DGP berjaya menaikkan gaji median pekerja peringkat permulaan sebanyak RM300 atau 16 peratus kepada RM2,200 berbanding RM1,900 sebelum ini.

Sementara itu katanya, pekerja yang telah berkhidmat lebih 12 bulan menikmati peningkatan gaji minimum sehingga RM290 atau 13 peratus, menjadikan gaji mereka kini RM2,490 berbanding RM2,200 sebelum ini.

Beliau berkata, hampir 6,000 majikan telah membuka akaun dalam sistem Gaji Progresif dengan hampir 4,000 permohonan rasmi untuk menyertai inisiatif tersebut.

Anda Mungkin Berminat