PETALING JAYA: LRT Laluan Shah Alam tidak dapat memulakan operasi seperti dijadualkan tahun ini susulan penemuan 33 isu teknikal kritikal sepanjang fasa ujian sistem, menurut Prasarana Malaysia Bhd.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan, berkata isu berkenaan dikenal pasti sepanjang ujian larian tanpa gagal (Failure Free Run, FFR) yang dijalankan selama 2.5 bulan, sekali gus menangguhkan peralihan ke fasa operasi percubaan.
“Isu-isu ini membabitkan aspek keselamatan, operasi dan prestasi sistem yang perlu diperbetulkan sepenuhnya sebelum laluan ini boleh dibuka kepada orang ramai,” katanya dipetik.
Menurut Prasarana, antara masalah utama termasuk tren gagal berhenti tepat di platform, gangguan pergerakan automatik ke stesen seterusnya serta kelajuan tren tidak mengikut tetapan sistem, termasuk pergerakan minima ketika tren sepatutnya pegun.
Ketika ini, projek LRT Laluan Shah Alam masih berada dalam Fasa Pengujian dan Pentauliahan yang merangkumi ujian percubaan, FFR serta operasi percubaan sebelum permohonan lesen pengendali dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Prasarana memaklumkan, ujian FFR yang bermula 26 Ogos 2025 menilai integrasi sistem kritikal seperti isyarat, komunikasi, set tren dan sistem kawalan bagi memastikan operasi yang stabil dan selamat.
Bagi tren utama atau ‘Golden Train’, ujian FFR mensyaratkan pemanduan sejauh 4,000 kilometer tanpa kegagalan, manakala set tren lain perlu melengkapkan jarak antara 2,500 hingga 3,000 kilometer sebelum layak beroperasi.
Setakat ini, 11 percubaan FFR telah dijalankan namun keperluan jarak perbatuan masih belum dicapai sepenuhnya disebabkan isu teknikal yang dikenal pasti sepanjang ujian.
Prasarana menegaskan keselamatan tidak akan dikompromikan dan semua kerja pembaikan diberi keutamaan bagi memastikan LRT Laluan Shah Alam benar-benar stabil, selamat serta beroperasi pada tahap optimum sebelum dibuka kepada orang ramai.
Baca juga:








