3,494 projek diluluskan MIDA bukti keyakinan kukuh pelabur terhadap Malaysia – PM

PUTRAJAYA: Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini apabila sebanyak 3,494 projek sektor pembuatan telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sejak 2021 hingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu, 3,095 projek telah direalisasikan dan kini beroperasi, mewakili kadar pelaksanaan 86.4 peratus, yang menurut Perdana Menteri, mencerminkan tahap keyakinan tinggi pelabur terhadap kestabilan dan prospek ekonomi negara.

“Sebanyak 3,494 projek pelaburan sektor pembuatan telah diluluskan MIDA sejak 2021 hingga Jun 2025, dan lebih 86 peratus daripadanya telah direalisasikan. Ini bukti jelas keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Puspanitapuri, hari ini.

Anwar berkata, pelaburan yang direalisasikan telah berjaya mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pembuatan bagi suku pertama tahun ini, selain mencatat kenaikan gaji median sebanyak 5.4 peratus kepada RM2,745, sejajar dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,700.

“Kita tidak mahu pelaburan sekadar diumum, tetapi mesti sampai ke tapak dan beri manfaat langsung kepada rakyat iaitu peluang pekerjaan, kenaikan gaji dan pertumbuhan industri,” ujarnya.

Dalam usaha memastikan pelaburan dapat dilaksanakan secara pantas dan efisien, kerajaan menubuhkan Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) pada Disember 2023.

Sehingga kini, pusat tersebut telah memudah cara lebih 28,000 permohonan pelabur, dengan kadar penyelesaian 99.9 peratus melibatkan isu berkaitan permit, utiliti, kuota pekerja asing dan percukaian.

“Inilah pendekatan kerajaan hari ini. Kita permudah urusan pelabur, bukan menyulitkan, kerana pelaburan berkualiti akan pacu ekonomi dan jamin masa depan rakyat,” tegas Anwar.

Tambah beliau, nilai tambah sektor pembuatan turut meningkat kepada RM95.7 bilion, manakala kedudukan Malaysia dalam World Competitiveness Ranking oleh IMD melonjak daripada tangga ke-34 kepada tangga ke-23.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat