PETALING JAYA: Seramai 35 orang individu ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana tidak berpuasa setakat Khamis lalu.
Penolong Pengarah Kanan Unit Perundangan dan Kesalahan Bahagian Penguatkuasaan JAIS, Nor Faisal Mohd Leman berkata, operasi terbaharu pihaknya ke atas sebuah restoran di sekitar Subang telah menahan 15 orang lelaki yang tidak berpuasa.
Katanya, tindakan tersebut dilaksanakan berdasarkan laporan awam yang diterima.
“Intipan telah dilakukan selama dua minggu ke atas premis di mana individu telah makan, minum dan menghisap rokok secara terbuka di tempat itu,” katanya dalam satu video di Facebook JAIS.
Difahamkan antara alasan yang diberikan mereka adalah tidak bersahur atau melakukan kerja-kerja berat.
Kes akan disiasat di bawah Seksyen 19 (1) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003.