PUTRAJAYA: Kerajaan menegaskan semua agensi berada pada tahap kesiapsiagaan penuh bagi menghadapi monsun timur laut (MTL), susulan permulaan fenomena cuaca itu semalam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan persiapan jentera kerajaan telah digerakkan sepenuhnya termasuk menghadapi kesan fenomena La Nina.
“Pihak JPS telah mengenal pasti lebih 3,682 hotspot banjir sebagai fokus utama persiapan menghadapi MTL,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

Beliau menambah, Jabatan Mineral dan Geosains turut mengenal pasti 254 cerun kritikal yang memerlukan pemantauan rapi sepanjang musim banjir.
Selain itu, 1,768 stesen hidrologi, 614 siren amaran banjir dan 285 rumah pam berada dalam keadaan siap siaga, manakala kapasiti pam bergerak turut ditambah untuk menangani sebarang kenaikan paras air secara mendadak.
Kerajaan juga memantau beberapa empangan utama dan akan mengambil tindakan intervensi segera sekiranya berlaku limpahan atau paras air melebihi tahap kritikal bagi memastikan keselamatan penduduk berhampiran.
Pada masa sama, Angkatan Tentera telah diaktifkan di bawah Ops Murni bagi membantu operasi menyelamat dan logistik sepanjang musim MTL.
Baca juga:







