383,637 peminjam gagal bayar balik pinjaman PTPTN berjumlah RM5.25 bilion

PETALING JAYA: Sejumlah 383,637 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah gagal membuat bayaran balik pinjaman sehingga 31 Disember 2024.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, ia mengakibatkan tunggakan bayaran sebanyak RM5.25 bilion.

Katanya, daripada 2,448,105 peminjam yang menerima pinjaman, seramai 1,044,595 telah menyelesaikan pinjaman mereka sepenuhnya sehingga 31 Disember 2024.

“Selain itu, seramai 585,638 peminjam sedang membuat bayaran balik secara konsisten, manakala 817,872 peminjam membuat bayaran balik secara tidak konsisten yang melibatkan tunggakan sebanyak RM5.80 billion,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjelaskan perkara berkenaan sebagai respons kepada soalan yang diajukan oleh Ahli Parlimen Lumut, Nordin Ahmad Ismail.

Soalan tersebut menanyakan jumlah peminjam PTPTN yang sedang membayar mengikut jadual yang membayar tidak mengikut jadual dan yang gagal membayar serta jumlah nilai hutang bagi setiap kumpulan tersebut.

Sebelum ini Zambry berkata, peminjam yang gagal membayar balik didapati tidak pernah membuat sebarang pembayaran kepada PTPTN, walaupun diketahui bahawa kebanyakan daripada mereka telah mempunyai kerjaya masing-masing.

Beliau berkata, jumlah pinjaman yang tidak dibayar semula itu terus meningkat saban tahun dan memberi kesan negatif kepada kedudukan kewangan PTPTN.

Anda Mungkin Berminat