39 PATI berjaya ditahan, Imigresen gempur 17 premis di Perak

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak telah berjaya menahan 39 pendatang tanpa izin (PATI) dalam serbuan di 11 premis perniagaan dan enam kediaman di sekitar daerah Kinta, Perak pada Rabu.

Menurut Pengarah Imigresen Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik, seramai 18 orang pegawai digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas 101 warga asing serta menahan 33 lelaki dan enam wanita.

“Kesemua mereka yang ditahan adalah terdiri daripada empat lelaki warga Bangladesh, lapan lelaki warga India, seorang lelaki warga Pakistan, 17 lelaki dan tiga wanita warga Myanmar dan tiga lelaki serta tiga wanita warga Indonesia.

“Kesemua tangkapan ditahan di Depot Imigresen Ipoh bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen1959/63 iaitu masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta yang sama iaitu telah tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan dan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat Pas yang telah dikeluarkan.

“Masyarakat diharapkan dapat terus membuat aduan bagi membanteras kebanjiran PATI serta akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana majikan atau individu yang menggaji serta melindungi PATI,” katanya.

Difahamkan, serbuan Op Belanja, Op Pandan, Op Selera Minyak, Op Mahir dan Op Sapu dijalankan oleh Unit Risikan dan Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM Perak bermula pada pukul 11 pagi Selasa sehingga 2.30 pagi pada Rabu.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat