398 Diberkas Dalam ‘Ops Noda’ Pusat Hiburan Seluruh Negara

PETALING JAYA: Seramai 398 individu berjaya diberkas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam serbuan mega menerusi Operasi Noda yang dijalankan serentak di seluruh negara pada 7 dan 8 November lalu.

Dalam kenyataan media pada Isnin, PDRM memaklumkan bahawa tangkapan melibatkan lima pemilik premis, tiga pengurus, 150 pekerja, 112 pelanggan serta 128 pelayan pelanggan atau wanita GRO.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, operasi itu digerakkan bersama Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ kontinjen negeri, pihak berkuasa tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Dalam operasi ini, sebanyak 118 premis pusat hiburan diperiksa dan 103 daripadanya didapati tidak mempunyai lesen sah.

“Tangkapan membabitkan lima pemilik premis, tiga pengurus, 150 pekerja, 112 pelanggan dan 128 pelayan pelanggan atau GRO warga asing.

“Daripada jumlah terbabit, 87 adalah rakyat tempatan iaitu 76 lelaki dan 11 wanita manakala 311 lagi adalah warga asing iaitu 151 lelaki dan 160 wanita,” katanya.

Kesemua individu yang ditahan berusia antara 19 hingga 55 tahun dan telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah berdekatan untuk proses dokumentasi serta siasatan lanjut.

PDRM turut merampas sejumlah wang tunai dan pelbagai peralatan hiburan yang digunakan semasa aktiviti dijalankan.

Menurut Kumar, beberapa kesalahan dikenal pasti dan sedang disiasat di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Jelas beliau, kesalahan tersebut disiasat mengikut peruntukan Seksyen 76 Akta Eksais 1976 kerana menjual arak tanpa lesen yang boleh dikenakan denda maksimum RM50,000.

“Bagi seseorang dilarang tinggal di Malaysia apabila pas atau permit telah tamat tempoh disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (c) dan jika disabitkan kesalahan denda minimum RM10,000 atau hukuman penjara hingga 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, buat mana-mana warga asing masuk dan berada di Malaysia tanpa pas dan permit yang sah boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959 jika disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM10,000.00 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya dan boleh,” katanya.

PDRM menegaskan bahawa operasi seumpama ini akan terus dipergiatkan bagi memastikan semua pusat hiburan di negara ini beroperasi mengikut syarat lesen dan pendaftaran yang sah.

“Orang ramai digesa menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan itu,” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat