Empat anggota polis dipercayai melakukan peras ugut terhadap seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun membabitkan wang berjumlah RM8,700 di sebuah rumah dalam kawasan Taman Saujana, Parit Semerah, Pontian pada Isnin lalu.
Ibu pejabat Polis Daerah Pontian telah menerima satu laporan polis kira-kira pukul 9.13 malam pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee berkata, tangkapan telah dibuat ke atas empat anggota lingkungan umur antara 27 hingga 58 tahun.
“Setakat hari ini, siasatan diteruskan dengan membuat tahanan Reman Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi melengkapkan kertas siasatan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh boleh sampai sepuluh tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya komited dalam memerangi masalah integriti serta salah laku jenayah dalam kalangan pegawainya demi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pegawai polis yang melakukan jenayah,” katanya.
Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, diminta menghubungi terus talian hotline IPD Pontian 07-6869999i atau boleh menghubungi di talian 016-3236741.
Baca juga: